Riwayat awal Sultan_Idris_Iskandar_al-Mutawakkil_Alallahi_Shah_ibni_al-Marhum_Sultan_Iskandar_Shah

Raja Idris Shah II diputerakan pada 17 Ogos 1924. ialah putera kedua ayahanda kepada Sultan Iskandar Shah dan bonda kepada Raja Puteh Umi Kalsom binti al-Marhum Raja Kulop Muhammad Kramat. Kekanda sulungnya meninggal dunia ketika hanya berusia 40 hari.[1]

Pada 3 Januari 1931, Idris menyertai Sekolah Melayu Bukit Chandan dan kemudiannya pada 1932, bersekolah di Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Kangsar. Beliau dilantik sebagai Raja Di-Hilir Perak pada tahun 1934 ketika berumur 10 tahun untuk menggantikan Raja Chulan. Pada 17 Oktober 1938, Raja Idris dilantik sebagai Raja Bendahara Perak. Ketika itu, Sultan Perak ialah Sultan Abdul Aziz.

Raja Idris melanjutkan pendidikannya di Maktab Melayu Kuala Kangsar pada 12 Disember 1938 tetapi pelajarannya terganggu apabila Jepun menyerang Tanah Melayu pada 1941 semasa Perang Dunia II. Beliau menyertai pasukan Giyutai, sebuah pasukan pertahanan yang ditaja oleh tentera Jepun tetapi secara sulit, berhubung dengan pasukan gerila Force 136 yang dipimpin oleh Kolonel Dobree untuk menentangnya.

Pada tahun 1943 semasa pendudukan Jepun, Raja Idris berkahwin dengan Raja Muzwin binti Raja Ariff Shah dan dikurniakan dua orang putera dan tiga orang puteri. Salah seorang daripada puterinya adalah Raja Zarith Sofia, isteri kepada Sultan Johor pada masa ini, iaitu Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Raja Idris Shah bertugas di Pejabat Tanah, Kuala Kangsar sebagai Penolong Pemungut Cukai Hasil Tanah antara tahun-tahun 1943 - 1945, dan seterusnya ditempatkan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Apabila Sultan Abdul Aziz mangkat pada tahun 1948, Sultan Yussuf Izzuddin Shah dimasyhurkan menjadi Sultan Perak ke-32. Raja Idris dilantik sebagai Raja Muda Perak yang bersemayam di Teluk Intan. Pada tahun 1949, beliau ke England untuk menyertai kursus Kerajaan Tempatan, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Agraria di Universiti London.

Sekembalinya ke Perak pada tahun 1951, Raja Idris menyertai pasukan Angkatan Sukarela Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan ditauliah pangkat Leftenan. Beliau turut menerima latihan ketenteraan di Port Dickson, bersama-sama pasukan Askar Melayu dan kemudiannya, dinaikkan pangkat menjadi Mejar. Raja Idris turut serta memberi semangat kepada seluruh rakyat di Hulu Perak agar tidak tertipu dengan dakyah komunis.